SEJAHTERALAH SEMUA RAKYAT MALAYSIA

Isnin, 30 Ogos 2010

Selasa, 24 Ogos 2010

diratah pada malam merdeka

Sambutan Hari kemerdekaan datang lagi ....
Ayuh ,  anak Malaysia seluruhnya, marilah kita
bangkit dengan semangat yang tinggi .
Kita laungkan kata keramat ... Merdeka ! Merdeka ! Merdeka ! ,
biar kelihatan kita ini berjiwa merdeka,
sehingga merah saga biji mata kita.
Mari kita kibarkan bendera dibelakang bontot moto
kita bentangkan juga dibonet kereta kita
sehingga nampak sangat cinta kita kepada negara.

Ketika hampir hari kemerdekaan ...
orang ramai ditanya pula oleh para wartawan ,
apakah maksudnya merdeka.
Seorang lelaki india mendifinasikan ,
merdeka adalah bebas memerintah sendiri.
sorang lelaki tionghua juga menjelaskan ,
merdeka adalah kita bebas memerintah negara sendiri.
Lalu ditanya pula kepada seorang lelaki bersongkok hitam
...pun begitu juga jawapannya.

Pada malam sambutan kemerdekaan
pasti seperti biasanya tahun-tahun yang lalu.
Tiada sebarang pengisian bermakna erti merdeka.
Hanya pentas hiburan dan konsert nyanyian .
Maka bertukar dingin dan bekulah  jiwa yang benar-benar merdeka.
Kerana mengharap pengisian bermakna pada malam yang bertuah
Nasib baik telah dibeli beberapa ekor ayam panggang
untuk diratah pada malam merdeka.  

Jumaat, 6 Ogos 2010

Pelampung Talian Hayat Umno

Hari ini ......... seorang kawan lama juga seorang otai parti pembangkang yang seusia separuh abad bercerita .....orang umno kini sedang sibuk menyediakan pelampung untuk talian hayat. Ehh ... macam siaran Jangan Lupa Lirik Astro pulak,  ya .. cuba lihat sekarang orang umno macam tengah karam dalam air tohor. Tak mati lemas pun tapi sibuk cari pelampung .. takut basah tembakau kot ! hehe.........Pelampung yang Perkasa contohnya . pelampung lain tu ada juga tapi kecil je.

Maka sibuklah kaki-kaki umno mendaftar nama masuk Perkasa. Dibuat berbagai cara untuk mengumpul orang dan mendaftar Perkasa. Itu tak kesahlah tapi apa yang lucunya ramai budak-budak silat macam tertipu bila PESAKA dan PERKASA jadi macam sesumpah.  .. . . Kejap ... kata program PESAKA jadi bebudak ni macam nak rak berlatih untuk buat demo ..... Kejap ... tiba-tiba jadi program PERKASA...  macam mana hah !

Dahlah weh! ............ jadilah , jangan pijak orang lain bila kita nak naik , jangan jadi Sapi ambik susu Lembu buat minyok nama Sapi.  Dah tu ... jangan jadi kadok .  Dulu masa bebudak PESAKA nak bertanding ke Kuantan ... hehehe .. kesian kesian.     Nasib baik ada 'abangwan'. Terima kasih yek.

Sabtu, 17 Julai 2010

Ludah Berhelah ..... sebuah puisi senget

Andai aku menteri keuangan
ingin segera aku turunkan defisit belanja
maka aku ungkit segala  subsidi kepada rakyat ... kununnya.
biar rakyat sedar selama ini mereka senang atas ihsan belaka .

Andai aku menteri keuangan .
bila aku ingin kurangi defisit
maka aku naikkan harga makanan dan bahanapi
kerana itu sahaja idea yang aku ada....

Andai aku menteri keuangan ...
akan aku jaga kepentingan segolonganku
takkan ku kurangkan elaun kamu walau sesen
walaupun income bulanan kamu puluhan ribu
hatta 4 bini 4 banglo 4 keretemewah mampu ditanggung

Andai aku menteri keuangan  ....
aku tak segan menaikkan hanga barang
kerna hanya rakyat bawahan yang terasa keperitannya
puak yang tak pernah bersentuh bahu denganku

Andai aku menteri kewangan ...
aku tak segan menaikkan harga barang
kerana juak-juak dan pecacai  celaka
takkan  berhenti berdendang memuji ku .

Selasa, 6 Julai 2010

Sesumpah UMNO

Dalam kancah politik UMNO masa kini sebutlah sahaja apa, sesumpah, pelacur, hanturaya,polong sikit pun tidak menimbulkan kesan kepada ahlinya. Pertama adalah gelaran tersebut dilontar secara umum  untuk menghangatkan suasana perhimpunan. Contohnya dalam perhimpunan UMNO Jerantut baru-baru ini , apabila DS Najib menyebut kataan SESUMPAH maka ramailah ahli umno , pengamal media dan rakyat jelata  membuat tafsiran bahawa sesumpah itu adalah DS Anwar. Maka hebohlah berhari-hari di ceritakan betapa sikap DS Anwar yang berbelit-belit, talam dua muka,lidah bercabang dan terkininya sesumpah.

Kalau kita buat sedikit renungan tentu kita tahu  DS Najib memberi amaran kepada ahli umno jangan jadi sesumpah dalam PRU nanti, maksudnya jangan pengkhianat parti , jangan berkerja untuk PR. Begitu ramai ahli UMNO menjadi sesumpah sehingga DS Najib yang amat sibuk dengan tugas negara terpaksa membuat teguran.

Namun ahli UMNO peringkat cawangan sibuk mengaitkan gelaran SESUMPAH dengan DS Anwar. Apa untungnya kepada UMNO kalau semua orang tahu seandainya DS Najib kata DS Anwar SESUMPAH sedangkan beribu SESUMPAH berada dalam umno yang makin hari makin membenamkan UMNO . SESUMPAH ini  merebut setiap jawatan yang ada seperti ketua Kg, ahli JKKK, AJK Masjid  JK persatuan Belia , NGO  dan dalam umno sendiri. SESUMPAH ini mengaku sanggup memikul amanah jawatan tetapi setelah mendapat jawatan mereka mengabaikan tanggungjawab. Oleh kerana mereka turun sebagai individu UMNO maka apabila mereka mengabaikan amanah yang diberi maka UMNOlah yang mendapat padahnya.

Rabu, 19 Mei 2010

MELAYU RELA KALAH JIKA .....

'Orang Melayu akan lebih maju jika umno kalah dalam pilihanraya'. Ayat ini saya ajukan semasa berbual kosong di kedai kopi.  Kebetulan pula rakan sembang masa itu  KC umno dan tiga empat orang lagi tak berjawatan pun. Huh!  apa lagi , KC pun tepuk mejalah. Umno takkan kalah dan tak boleh kalah. Jika umno kalah bangsa melayu habis katanya. Kalau umno kalah Malaysia akan huruhara tambahnya lagi. Maklumlah umno selama ini dah terlalu banyak berjasa dan seolah-olah saya lupa segala jasa  dan pengorbanan umno membangunkan orang melayu selama ini.

Tujuan saya ceritakan peristiwa diatas adalah hendak mengambarkan betapa taksubnya ahli umno terhadap umno. Bagi mereka tanpa umno hilanglah melayu sedangkan merekalah yang sering melaungkan kata keramat ' tak melayu hilang di dunia'. Ketaksuban membuatkan mereka hilang semangat juang, yang ada hanyalah semangat untuk menang.

Dalam politik, puncak semangat juang adalah rela kalah , kalau kita tidak ada kesanggupan ini maknanya aras perjuangan kita masih rendah dan inilah aras kebanyakan ahli umno hari ini . Mereka seperti tidak membuat persedian minda untuk menerima slogan rela berjuang dan rela kalah. Ini menyebabkan ramai ahli umno gagal dalam mengawal emosi bila menjawap hujah orang bukan umno.

Saya  sangat tak mahu bangsa melayu hilang kuasanya di tanah air ini. Begitu pun hati kecil berkata akhirnya saya terpaksa akur dan rela kita hilang kuasa dalam politik seandainya kuasa politik orang melayu gagal membela maruah dan martabat melayu. Buat apa kita julang pemimpin melayu yang tak pedulikan nasib , maruah dan martabat orang Melayu.

Jumaat, 14 Mei 2010

Oh politik

Apa-apa pun takrifan tentang politik aku tidak peduli. Apa yang aku faham tentang politik adalah apa yang selalu didengar dan dilihat dari pemainnya. Mulanya, semasa usia menjengkau dewasa aku mula belajar mengenali politik. Aku giat mendengar cakap-cakap, ucapan dan syarahan berkaitan politik serta melihat gelagat jaguh-jaguh politik tempatan dan negara samaada dari belah kerajaan atau pembangkang.

Ya, mendengar cakap orang politik memang mengkagumkan. Bermacam dakwaan yang dikatakan. Ada yang mendakwa kerana politiklah kita mengecap kemerdekaan. Kerana politiklah anak bangsa Melayu berpeluang menjejakkan kaki ke menara gading, mendapat berbagai perkhidmatan percuma dan bantuan dari kerajaan. Demikianlah dicanangkan besarnya faedah politik sehinggakan politik mula mendarah daging ramai umat Melayu tidak mengira lapisan usia lagi , remaja,putera,dewasa,veteran,puteri,wanita,muslimah dan sebagainya.

Maka bergendonglah orang Melayu menyertai mana-mana parti-parti politik yang mereka minati. Politik bukan lagi menjadi satu perkara dari sepuluh perkara orang Melayu tapi sembilan dari sepuluh. Cuba kita pandang sekeliling kita, apa yang tidak dikaitkan dengan politik. Subsidi baja, subsidi beras,subsidi petrol,tadika,jambatan,kelas kemas,kelas berzanji,jalanraya,kedai majlis daerah, cakap apa saja semuanya ada kaitan dengan politik.

Mengapa orang Melayu jadi seperti ini? Mengapa politik dijadikan seperti nyawa dalam kebanyakkan bidang lain. Tidak sedarkah kita bahawa politik yang dianggap madu sebenarnya adalah candu yang menjadi penghalang kepada kemajuan sebenar orang Melayu. Kerana politik inilah orang Melayu semakin lemah dalam persaingan dengan bangsa lain. Sebab itulah orang Melayu sentiasa perlukan bantuan kuasa politik untuk terus maju dan bersaing. Tanpa bantuan kuasa politik tentunya  ramai orang Melayu yang hilang kereta besar, rumah besar atau jawatan besar, tapi yang lebih tentunya hilang cakap besar.

Sabtu, 17 April 2010

Budaya dan Negeri

Budaya adalah sesuatu yang menjadi kebiasaan atau kegemaran yang diwarisi oleh beberapa jenerasi bagi setiap kaum . Di negara kita setiap negeri diwarnai dengan kebudayaan masing-masing. Justru itu  kebudayaan sesebuah negeri menjadi  pengenalan kepada jatidiri negeri tersebut. Manakala kebudayaan itu sendiri lahir melalui cara hidup dan asal keturunan sesuatu kaum. Penduduk sesebuah negeri itu telah membentuk budaya yang berlainan sehingga setiap negeri ada kebudayaan masing-masing.

Kebudayaan biasanya merangkumi bidang kesenian seperti nyanyian , tarian dan ukiran ,cara berpakaian , mencari nafkah atau  mempertahankan diri. Kebudayaan juga melibatkan maruah  sesebuah negeri kerana lazimnya kebudayaan yang menjadi identiti negeri diambil dari penduduk asal negeri tersebut. Bagi penduduk yang berhijrah dari negeri lain, mereka hendaklah memahami perkara ini dan janganlah menonjolkan budaya negeri asal mereka .

Oleh kerana sistem negara kita secara persekutuan , maka ramailah petugas kerajaan dari negeri lain berkerja di negeri ini dan begitulah juga sebaliknya. Sepatutnya mereka ini mengenali budaya negeri ini dan apabila ada apa-apa aktiviti kebudayaan hendaklah mereka menonjolkan kebudayaan setempat bukannya kebudayaan negeri lain.

Sebagai contohnya dikir barat adalah kebudayaan orang Kelantan , perlukah ianya ditonjolkan diprogram yang dianjur oleh jabatan atau ajensi kerajaan di Pahang. Katakanlah  Badan Kebudayaan Sekolah Menengah Jerantut Pahang mengadakan Kelab Dikir Barat hanya kerana guru kelabnya berasal dari Kelantan. Apabila ada lawatan pelajar dari negeri lain maka kelab ini membuat persembahan dan proses pengambilalihan budaya secara beransur telah berlaku.

Contoh lain  sebuah kampung di Pahang  ingin mengadakan suatu sambutan telah memohon bantuan peruntukkan dari sebuah ajensi kerajaan . Pegawai ajensi tersebut telah mensyaratkan supaya persembahan dikir barat diadakan dalam sambutan tersebut. Demikianlah sikap yang tidak prihatin terhadap sensitiviti orang tempatan atas sikap taksub individu yang mementingkan budaya mereka sahaja.

Dalam masa yang sama pula orang Pahang semakin lalai dalam memelihara budaya sendiri .Orang Pahang perlu bersama-sama menghidupkan semula kesenian warisan mereka yang telah lupus . Jangan biarkan budaya negeri lain menjadi jatidiri orang Pahang . Orang Pahang perlu pandai bercakap dalam loghat Pahang,
berdikir dengan dikir Pahang , berjoget dengan joget Pahang , bersilat dengan silat Pahang dan menari dengan tarian Pahang.

Rabu, 10 Mac 2010

BEBAL ,BINGONG ATAU . . . . . . .

Makin lama mengikuti perkembangan politik tanahair , makin bebal pulak kepala otak ini untuk memikirkan apakah  sebab musababnya  sesuatu  isu itu. Umpamanya isu  Zulkifli Nordin , isu  Azan di Kuantan  ataupun tentang Fairuz yang keluar PKR. Benar-benar teraniya dan tertindaskah melayu P.Pinang dewasa ini sehingga Fairuz meninggalkan Anwar. Mengumumkan keluar PKR dalam majlis gayung tentunya memerlukan alasan yang cukup kritikal kerana anak gayung tentunya melihat situasi ini sebagai dharurat.

Menyorot pula tentang Pas Pahang, ramai anak negeri Pahang yang asal merasakan Pas Pusat tidak prihatin dengan perasaan dan kecintaan kepada negeri Pahang. Tidak adakah anak-anak Pahang yang asal untuk diserah tanggungjawap memimpin Pas Pahang. Kalau di negeri lain mungkin isu ini tidak berlaku tapi di Pahang ini ramai penghijrah dari luar dan mereka masih tebal semangat kenegerian asal ibubapanya.Tentunya tak sesuai langsung Pas Pusat melantik penjawat tertinggi parti dari golongan ini. Ataupun Pas Pusat mahu penduduk asal Pahang menjauhkan sokongan kepada  mereka.

Bukan kami memperjuangkan semangat kenegerian tapi kami bergerak mengikut tari kelompok mereka. Kalau mereka anak Kelantan kami boleh menerima tapi kaum kerabat mereka begitu mementingkan persaudaraan mereka sehingga meminggirkan anak negeri asal. Jika mereka memegang jawatan tak kiralah jawatan apapun, JKK, juruteknik , DO ke mereka lebih mengutamakan kepentingan kaum kerabat mereka.
Sikap melebihkan  kumpulan anak negeri mereka sehingga kini makin menimbulkan prasangka masyarakat tempatan, jadi tentu makin sukar bagi Pas mendapat kemenangan PRU 13 nanti jika  Pas Pusat tidak bertindak awal.

Ahad, 24 Januari 2010

Amaran kepada pemimpin Pakatan


Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz memberi kata dua kepada pemimpin dalam PR agar tidak mengamalkan budaya tidak sihat seperti rasuah, cah keting dan kronisme sekiranya mahu terus mendapat tempat dihati rakyat. Menteri Besar Kelantan itu berkata, sejarah telah membuktikan bahawa sesebuah parti itu tidak kekal dan diterima rakyat selamanya jika pemimpinnya mengamalkan budaya berkenaan dan tidak menunaikan tanggungjawab yang diamanahkan rakyat.

Saya memberi peringatan kepada pemimpin parti dalam Pakatan Rakyat supaya mereka menunaikan tanggungjawab sepenuhnya kepada rakyat dan tidak melakukan perkara buruk seperti cah keting, rasuah, kronisme dan sebagainya.

Diatas adalah sebahagian dari berita tajuk utama Harian Sinar 24 januari 2010 yang mana akhirnya disediakan pula undi SMS atas tajuk Wajarkah tindakan Nik Aziz beri kata dua terhadap parti gabungan pakatan rakyat jika amal gejala tidak sihat.

Mengikuti berita diatas saya terfikir pula wajarkah pengarang Harian Sinar ini mengeluarkan undian SMS diatas tajuk begitu. Saya berfikir apakah muslihat yang ingin dilakukan oleh Harian Sinar ataupun sememangnya harian ini juga sebagai ejen yang berusaha keras untuk memecahbelahkan perpaduan rakyat.

Undian SMS ini adalah untuk mengukur samaada populariti Datuk Nik Abd. Aziz setelah sebegitu banyak pakej maki hamun dan fitnah dilemparkan oleh media massa dan laman blog untuk menjatuhkan maruah beliau. Rupa-rupanya sekarang masa untuk mereka menilai markah prestasi usaha tersebut.

Sabtu, 2 Januari 2010

Mat Kilau



damailah aki di pusara menanti...

aki....
kini nama aki telah mashor
megah anak cucu mengaku
talian darah turunan juga yang dibangga..

aki...
maafi kami kerana tinggalkan jejakmu
kini kami telah menurut jalan mereka
yang aki tentang selama hayat
telah menjadi sandaran kami
budaya mereka kami sanjungi
anutan mereka anutan kami
mereka perjuang demokrasi
kami pula pendokong demokrasi

aki..
bukan kami tak hargai perjuanganmu
titik darah dan nyawa rakanmu
tapi kami tak sekuat Aki
maafi kami Aki..

Rabu, 30 Disember 2009

Apalah bangsa ku

Apakah bangsa aku ? Soalan ini sering kali melintas difikiran. Benar , memang aku bangsa melayu tapi apakah identiti sebenar bangsa melayu. Adakah ciri-ciri bangsa melayu begitu longgar sehingga mudah dicerobohi oleh individu-individu lain sehinggakan ciri-ciri wajah rupa dan pertuturan tidak lagi boleh diambil kira.

Di negara ini menjadi bangsa melayu mempunyai keistimewaannya selagi bangsa melayu mampu mempertahankan hak tersebut. Keistimewaan inilah menjadi punca utama proses rentas bangsa berlaku yang banyak melibatkan kaum lain umpamanya India muslim. Bangsa India Muslim ada kemungkinan akan pupus dalam tempuh 50 tahun lagi sekiranya tidak ada tindakan tegas diambil oleh Jabatan Pendaftaran.

Selain itu

Ahad, 27 Disember 2009

BN atau PR ??

Ketika ini , ketika blog ini ditulis , tahun 2010 hampir menjelang beberapa hari saja lagi. Bermakna hanya tinggal masa dua tahun sahaja lagi persediaan dua pihak BN dan PR untuk berusaha meraih keyakinan pengundi bagi mendapat mandat untuk memegang tampuk kerajaan Malaysia. Inilah era penting bagi semua rakyat Malaysia demi membuat keputusan yang akan menentukan tumbangnya sebuah kerajaan .

Demi tempoh yang makin singkat itu maka setiap hari media massa arus perdana telah diprogram dan diperguna sepenuhnya oleh pihak BN yang masih berkuasa hari ini untuk memfitnah dan melaga-lagakan pemimpin PR dalam program menjatuhkan kewibawaan pemimpin-pemimpin utama PR. Malah kita jangan terkejut kerana ramai pengampu Umno sekarang berselindung disebalik slogan 'Fisabillah ', 'Ukhwah' dan sebagainya. Sekiranya usaha ini berhasil maka akan dijalankan pula tindakan-tindakan susulan selanjutnya Mungkin inilah peluang terakhir yang bebas untuk BN menyerang PR tanpa dapat PR melawan dengan adil.

Biar kita teliti tindakan BN dinegeri-negeri yang ditadbir PR , jalan cerita di setiap negeri hampir saja sama , tindakan protes yang melibatkan orang ramai dan pada episod akhir akan muncul 'hero' yang memperlekehkan kerajaan negeri PR , memang memualkan mata dan telinga. Di Selangor akan muncullah wajah 'kacak' Khir Toyo mengiklankan rupanya. Begitu juga di Kedah , bekas MBnya masih dipromosi sebagai penyelamat kepada segala masaalah di Kedah.

Selama lebih 50 tahun BN memerintah , sepatutnya sudah tiada lagi isu DEB, isu Bahasa Melayu, isu ketuanan Melayu, kemiskinan dan sebagainya. BN sepatutnya telah menyelesaikannya 20 atau 30 tahun lampau. Tapi kita lihat hari ini , masaalah kemiskinan contohnya yang melibatkan bangsa Melayu , India dan puak pribumi masih belum selesai. Perkara ini berlaku kerana penyelewengan yang berlaku disesetengah peringkat menyebabkan berlaku rasuah dan pilih kasih . Ini bukti kegagalan BN yang tidak dapat dinafikan.

BN yang diterajui oleh Umno selama ini sepatutnya telah berjaya meletakkan bahasa Melayu di tempat yang sewajarnya , setaraf dengan bahasa utama negara .Tidaklah menjadi bahasa yang kenyataannya terpinggir dan menjadi bahasa kelas dua di tanah air sendiri sehinggakan ahli bahasa terpaksa berarak di jalanan untuk menuntut supaya bahasa Melayu digunakan dalam matematik dan sains. Apa erti kemerdekaan selama ini jika generasinya berfikir dan mengira dalam bahasa asing.

Disudut ekonomi pula orang Melayu sentiasa di ungkit dengan keistimewaan yang diterima biarpun hanya sedikit . Mengapa kita sentiasa di kata menerima keistimewaan sedangkan apa yang kita terima adalah hak kita kerana kita bangsa penguasa asal tanah Melayu.

Umno adalah teras BN yang mendakwa parti Islam yang sebenarnya tapi masih gagal mendaulatkan syariat Islam sebagai undang-undang negara. Mereka menumpukan kepada bidang yang hanya menguntungkan umpamanya sistem perbankan dan takaful , sedangkan sistem perniagaan riba terus subur tidak dihapuskan. Pelaksanaan hukum terhadap peminum arak dan maksiat zina tetap gagal dijalankan.

Jikalau sedemianlah kegagalan Umno yang menjadi teraju BN selama lebih 50 tahun maka apalah salahnya kita erahkan pula amanah mentadbir negara ini kepada PR. Marilah kita beri peluang kepada PAS dengan kerjasama PKR dan DAP. Kita tidak boleh mengatakan PR akan gagal sebelum kita memberikan peluang .

PAS yang telah lama berjuang untuk mendaulahkan Islam mesti mendapat mandat kita. Saya yakin bahawa kita tidak akan dipersoal akhirat nanti kerana memberi mandat kepada PAS tapi akan dipersoal kenapa tidak memberinya. Ini kerana Pas adalah sebuah jemaah Islam yang layak dan sempurna . Tidak sepatutnya kita termakan dakyah BN !!!

Ahad, 13 Disember 2009

Umat Islam dan selatan Thailand

Selatan Thailand adalah satu tempat yang mengalami konflik yang tragik yang mana telah meragut nyawa hampir 4,000 dan lebih 6,000 mengalami kecederaan. Konflik yang melibatkan pasukan keselamatan Thailand dan golongan pemisah turut melibatkan orang awam menjadi mangsa. Wilayah yang terlibat termasuk Yala , Narathiwat dan Pattani yang mana kebanyakkan warganya adalah umat Islam.

Konflik dikawasan ini adalah merupakan pemberontakan penduduk-penduduk Islam terhadap kerajaan Thailand yang diterajui penganut Buddha. Walaupun berbagai penyelesaian cuba dianjurkan oleh pelbagai pihak tapi masih gagal. Ini disebabkan di wilayah selatan tiada satu pihak pun baik pihak Islam mahupun pemerintah yang benar-benar mendapat sokongan majoriti rakyat. Mungkin ini adalah hasil dari dasar pecah dan perintah yang diamalkan oleh pemerintah keatas penduduk disitu.

Sejarah perlu menjadi sandaran kepada usaha mencari penyelesaian disana kerana punca penentangan telah bermula lama. Situasi di wilayah selatan Thailand sama dengan situasi di selatan Filipina. Penduduk tempatan yang berugama Islam dihimpit dan dipinggir oleh golongan majoriti yang berlainan agama yang ditaja oleh pemerintah. Akibatnya timbul rasa tidak puas hati penduduk tempatan dan inilah hakikatnya yang tidak mahu diakui oleh pihak pemerintah.

Penyelesaian hampir tiada langsung kecuali wilayah ini diberi hak menubuhkan negara sendiri tapi itu adalah satu perkara mustahil. Pihak pemerintah dengan segala kelebihannya telah menjalankan dasar-dasar bagi memastikan wilayah tersebut kekal dibawah kerajaan pusat.
Pemerintah Thailand telah menempatkan 60,000 tentera dan terdapat lapuran mengatakan hampir 20,000 anggota separa tentera golongan penduduk Buddha ditubuhkan untuk menghadapi tentangan puak pemisah.

Berapa ramaikah puak pemisah untuk menghadapi kekuatan dan kepakaran tentera kerajaan Thailand yang mendapat sokongan Amerika dan tidakkah penduduk disini terfikir sejauh mana kekuatan mereka yang ada berupaya untuk memberontak. Atau ini adalah satu helah golongan Buddha untuk melaksanakan penghapusan terhadap umat Islam secara senyap dan terancang. Marilah kita doakan supaya umat Islam wilayah selatan Thailand mampu mengharungi cubaan ini.

Jumaat, 6 November 2009

Sa2 Malaysia

Gagasan 1 malaysia telah dilaungkan. Apa lagi yang kita boleh buat. Mungkin pada mulanya slogan ini dibuat untuk menarik perhatian bangsa bukan Melayu supaya kembali menyokong BN namun berurusan dengan bangsa-bangsa yang mempunyai tamaddun lebih lama bukan semudah yang disangka. Bangsa bukan Melayu hanya mengambil masa yang singkat untuk memberi respon kepada laungan itu. Setelah itu bertungkus lumuslah si tukang canang untuk memenuhkan pengisian gagasan tersebut.

Lalu apakah yang tinggal lagi kini kepada orang Melayu. Kita tidak lagi boleh menamakan semenanjung ini sebagai Tanah Melayu. Nama barunya kini adalah semenanjung 1 Malaysia.
Dulu sewaktu ingin mendapatkan kemerdekaan kita telah berkorban kerakyatan negara ini dan hasilnya selepas merdeka Tanah Melayu terpaksa mengiktiraf kerakyatan berjuta-juta warga China dan India.

Selepas berpuluh tahun merdeka dan orang Melayu mentadbir negara ini ,namun pemimpinnya yang bijaksana gagal menyediakan satu mekanisma yang menjamin hak orang Melayu sebagai pemilik negara ini .Dulu bila kita nyanyikan lagu ' Negaraku' rasanya sungguh bersemangat kerana kita merasakan negara ini hanya milik kita orang Melayu dan bangsa-bangsa lain tetap kekal sebagai bangsa pendatang.

'Satu Malaysia' pada fikiran saya tetap satu kekalahan pada orang Melayu. Kita umpama menjual tanah untuk membeli rumah kondo . Apabila kita tinggal di kondo banyak benda yang kita kena kongsi , tidak seperti kita tinggal di tanah sendiri walaupun rumah papan , kita bebas
berbuat apa saja.

Berbagai agensi kerajaan kini mula mengisi program 1 Malaysia dan mempromosi program 1M sebagai menyahut seruan kerajaan. Suara-suara Ahli Parlimen bukan Melayu mula lantang menuntut apa yang mereka anggap sebagai pengisian kepada 1M. Mereka menuntut apa yang sebelum ini mereka tidak terfikir wajar dituntut .

Bagi orang Melayu, keistimewaan orang Melayu perlu dimanafaatkan sepenuhnya. Kita hanya ada masa 10 atau 20 tahun saja lagi untuk menyiapsediakan generasi yang mampu bersaing dengan bangsa bukan Melayu. Malah generasi itulah yang akan menjaga maruah kita nanti. Kita
memang sudah tidak ada masa untuk dibazirkan lagi. Mulai saat ini marilah kita bersama-sama perjuangankan kepentingan bangsa kita secara total.

Jika kita fikir , apakah yang boleh menjamin keistimewaan bangsa Melayu terpelihara. Marilah kita merujuk kepada Al-Quran surah An-Nahl ayat 89 bermaksud ;


" Dan telah kami turunkan keatasmu Al-Kitab sebagai petunjuk kepada segala sesuatu dan sebagai pemberi hidayah, rahmat dan khabar gembira bagi orang-orang Islam ".

Apa yang saya paparkan diatas adalah untuk renungan kita bersama. Semoga kita mendapat hidayah dari Allah Taala .

Khamis, 5 November 2009

KETUANAN MELAYU atau ... hanya ISLAM

Bangsa kita, Melayu telah terlalu lama didendangkan dengan gagasan ketuanan Melayu. Gagasan ini diutarakan untuk mengingatkan bangsa lain di negara ini bahawa orang Melayu adalah tuan punya tanah air ini. Dihebohkan kenyataan bahawa disebabkan ketuanan melayulah bangsa Melayu masih menikmati berbagai keistimewaan yang diberi oleh kerajaan di tanahair sendiri. Malah pemimpin kerajaan melalui pelbagai agensi dan jabatan sentiasa bertindak mengingatkan orang melayu supaya mempertahankan ketuanan melayu demi survival orang Melayu kerana belum tentu orang melayu boleh bersaing dengan bangsa lain tanpa bantuan kerajaan dan wadahnya hanya melalui umno..

Persoalannya bolehkah kita cuba pula untuk mempertahankan pula hak keistimewaan orang Melayu melalui Pas. Dengan kelebihan matlamat perjuangan Pas yang menjadikan Islam sebagai pelembagaan negara tentunya kita lebih yakin keistemewaan orang Melayu terus terjaga. Sudah sampai masanya orang melayu menjadikan Pas sebagai wadah baru mereka dalam usaha mempertahankan hak istemewa bangsanya dari lenyap dalam arus masa. Pas yang menjulang Ketuanan Islam tentunya berupaya menjaga kepentingan orang Melayu, tambah lagi 99% orang Melayu berugama Islam .

Kebelakangan ini Umno sentiasa melaungkan isu ketuanan Melayu yang mesti dipertahankan tetapi tidakkah mereka melihat pada gelagat segolongan pemimpin-pemimpin mereka yang mengagung-agungkan bahasa inggeris dan berbagai budaya asing. Falsafah Ketuanan Melayu mesti meletakkan Al-Quran dan Sunah sebagai ikutan . Dalam kita mempertahankan ketuanan kita ditanahair ini , kita mesti mengikut lunas-lunas Islam .

Perjuangan yang berlandaskan ketuanan bangsa bukanlah satu perjuangan yang dituntut oleh Allah . Firaun dilaknat kerana mengaku dirinya tuan kepada rakyatnya. Ketuanan melayu yang diperjuangankan pada hari ini adalah karut. Sepatutnya ahli UMNO memperjuangankan Islam sebagai negara dan cara hidup . Hanya pemerintah Islam sahaja yang boleh menjaga kepentingan dan kelangsungan semua bangsa.