SEJAHTERALAH SEMUA RAKYAT MALAYSIA

Sabtu, 17 April 2010

Budaya dan Negeri

Budaya adalah sesuatu yang menjadi kebiasaan atau kegemaran yang diwarisi oleh beberapa jenerasi bagi setiap kaum . Di negara kita setiap negeri diwarnai dengan kebudayaan masing-masing. Justru itu  kebudayaan sesebuah negeri menjadi  pengenalan kepada jatidiri negeri tersebut. Manakala kebudayaan itu sendiri lahir melalui cara hidup dan asal keturunan sesuatu kaum. Penduduk sesebuah negeri itu telah membentuk budaya yang berlainan sehingga setiap negeri ada kebudayaan masing-masing.

Kebudayaan biasanya merangkumi bidang kesenian seperti nyanyian , tarian dan ukiran ,cara berpakaian , mencari nafkah atau  mempertahankan diri. Kebudayaan juga melibatkan maruah  sesebuah negeri kerana lazimnya kebudayaan yang menjadi identiti negeri diambil dari penduduk asal negeri tersebut. Bagi penduduk yang berhijrah dari negeri lain, mereka hendaklah memahami perkara ini dan janganlah menonjolkan budaya negeri asal mereka .

Oleh kerana sistem negara kita secara persekutuan , maka ramailah petugas kerajaan dari negeri lain berkerja di negeri ini dan begitulah juga sebaliknya. Sepatutnya mereka ini mengenali budaya negeri ini dan apabila ada apa-apa aktiviti kebudayaan hendaklah mereka menonjolkan kebudayaan setempat bukannya kebudayaan negeri lain.

Sebagai contohnya dikir barat adalah kebudayaan orang Kelantan , perlukah ianya ditonjolkan diprogram yang dianjur oleh jabatan atau ajensi kerajaan di Pahang. Katakanlah  Badan Kebudayaan Sekolah Menengah Jerantut Pahang mengadakan Kelab Dikir Barat hanya kerana guru kelabnya berasal dari Kelantan. Apabila ada lawatan pelajar dari negeri lain maka kelab ini membuat persembahan dan proses pengambilalihan budaya secara beransur telah berlaku.

Contoh lain  sebuah kampung di Pahang  ingin mengadakan suatu sambutan telah memohon bantuan peruntukkan dari sebuah ajensi kerajaan . Pegawai ajensi tersebut telah mensyaratkan supaya persembahan dikir barat diadakan dalam sambutan tersebut. Demikianlah sikap yang tidak prihatin terhadap sensitiviti orang tempatan atas sikap taksub individu yang mementingkan budaya mereka sahaja.

Dalam masa yang sama pula orang Pahang semakin lalai dalam memelihara budaya sendiri .Orang Pahang perlu bersama-sama menghidupkan semula kesenian warisan mereka yang telah lupus . Jangan biarkan budaya negeri lain menjadi jatidiri orang Pahang . Orang Pahang perlu pandai bercakap dalam loghat Pahang,
berdikir dengan dikir Pahang , berjoget dengan joget Pahang , bersilat dengan silat Pahang dan menari dengan tarian Pahang.