SEJAHTERALAH SEMUA RAKYAT MALAYSIA

Jumaat, 14 Mei 2010

Oh politik

Apa-apa pun takrifan tentang politik aku tidak peduli. Apa yang aku faham tentang politik adalah apa yang selalu didengar dan dilihat dari pemainnya. Mulanya, semasa usia menjengkau dewasa aku mula belajar mengenali politik. Aku giat mendengar cakap-cakap, ucapan dan syarahan berkaitan politik serta melihat gelagat jaguh-jaguh politik tempatan dan negara samaada dari belah kerajaan atau pembangkang.

Ya, mendengar cakap orang politik memang mengkagumkan. Bermacam dakwaan yang dikatakan. Ada yang mendakwa kerana politiklah kita mengecap kemerdekaan. Kerana politiklah anak bangsa Melayu berpeluang menjejakkan kaki ke menara gading, mendapat berbagai perkhidmatan percuma dan bantuan dari kerajaan. Demikianlah dicanangkan besarnya faedah politik sehinggakan politik mula mendarah daging ramai umat Melayu tidak mengira lapisan usia lagi , remaja,putera,dewasa,veteran,puteri,wanita,muslimah dan sebagainya.

Maka bergendonglah orang Melayu menyertai mana-mana parti-parti politik yang mereka minati. Politik bukan lagi menjadi satu perkara dari sepuluh perkara orang Melayu tapi sembilan dari sepuluh. Cuba kita pandang sekeliling kita, apa yang tidak dikaitkan dengan politik. Subsidi baja, subsidi beras,subsidi petrol,tadika,jambatan,kelas kemas,kelas berzanji,jalanraya,kedai majlis daerah, cakap apa saja semuanya ada kaitan dengan politik.

Mengapa orang Melayu jadi seperti ini? Mengapa politik dijadikan seperti nyawa dalam kebanyakkan bidang lain. Tidak sedarkah kita bahawa politik yang dianggap madu sebenarnya adalah candu yang menjadi penghalang kepada kemajuan sebenar orang Melayu. Kerana politik inilah orang Melayu semakin lemah dalam persaingan dengan bangsa lain. Sebab itulah orang Melayu sentiasa perlukan bantuan kuasa politik untuk terus maju dan bersaing. Tanpa bantuan kuasa politik tentunya  ramai orang Melayu yang hilang kereta besar, rumah besar atau jawatan besar, tapi yang lebih tentunya hilang cakap besar.